PUTRAJAYA: Rayuan Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda berhubung perintah Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pembayaran ganti rugi RM5 juta berkait dengan kematian model warga Mongolia, Altantuya Shariibuu akan dibuat pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hashim Hamzah yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim K. Muniandy menetapkan demikian selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
“Kami memerlukan masa untuk meneliti hujahan. Kita akan tetapkan tarikh pengurusan kes selepas Deepavali, 27 Oktober ini untuk (menentukan) tarikh keputusan,” kata Hashim.
Pada prosiding hari ini, pihak kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd. Noor Nik Kar manakala Abdul Razak diwakili peguam Datuk Gurdial Singh Nijar.
Ibu bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua anak mendiang iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga diwakili peguam Sangeet Kaur.
Nik Mohd. Noor dalam hujahannya menyatakan, jumlah ganti rugi sebanyak RM5 juta adalah keterlaluan dan mencadangkan agar digantikan dengan RM1,384,000 sebagai amaun yang lebih munasabah.
Jumlah RM1.38 juta itu adalah dengan mengambil kira bahawa keluarga Altantuya hanya layak untuk menuntut kehilangan pendapatan (lost of income) kerana mereka tidak pernah mendapat hak sebagai pemegang estet wanita itu.
Selain itu, Nik Mohd. Noor turut menyatakan hakim bicara telah terkhilaf apabila tidak membezakan liabiliti peribadi antara responden dan memberikan jumlah ganti rugi secara keseluruhan.
Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan saman oleh keluarga Altantuya dan memerintahkan bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar serta Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia untuk bersama-sama membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.
Beliau juga memberikan faedah lima peratus setahun daripada jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan tuntutan mahkamah sehingga penyelesaian penuh amaun dan kos guaman sebanyak RM25,000.
Sementara itu, Gurdial menghujahkan bahawa tiada bukti langsung yang mengaitkan Abdul Razak dengan dakwaan berkonspirasi untuk membunuh Altantuya.
Selain itu, seorang lagi peguam yang mewakili Abdul Razak berhujah, sekiranya mahkamah ingin mengambil kira bahawa gaji Altantuya (ketika kejadian) adalah RM6,000, jumlah ganti rugi akibat kehilangan pendapatan hanyalah RM1.5 juta menjadikan jumlah ganti rugi RM5 juta itu tidak berasas.
Sangeet pula menghujahkan bahawa saman yang difailkan pihaknya adalah tort kesalahan perlembagaan yang melibatkan pelanggaran hak perlembagaan seseorang oleh pihak berkuasa atau kerajaan dan bukan sekadar tuntutan di bawah Akta Undang-undang Sivil.
Katanya, pembunuhan Altantuya adalah pelanggaran terang-terangan terhadap hak perlembagaannya untuk hidup, oleh itu termasuk dalam tort perlembagaan yang membolehkan mahkamah memberikan ganti rugi pemulihan kehormatan berkenaan.
Sirul Azhar dan Azilah disabitkan dengan kesalahan itu dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada 9 April 2009, namun dilepaskan dan dibebaskan pada 23 Ogos 2013 oleh Mahkamah Rayuan.
Namun, pada 13 Januari 2015, hukuman mati itu dikembalikan selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pihak pendakwaan.
Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan kerana telah ke Australia pada 2014, selepas dia dilepaskan daripada pertuduhan itu sebelum ditahan di bawah undang-undang imigresen kerana tinggal lebih masa, sebelum dibebaskan pada akhir 2023.
Dia masih berada di negara berkenaan sehingga kini.
Pada 10 Oktober 2024, Azilah terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan meminda hukuman mati yang dikenakan terhadapnya kepada penjara 40 tahun dan sebat 12 kali.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (ketika itu) membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh Azilah.
Dr. Shariibuu turut menyokong permohonan semakan Azilah untuk diberikan hukuman pemenjaraan atas dasar kemanusiaan.
Abdul Razak yang sebelum ini dituduh bersubahat dengan kedua-dua anggota polis itu telah dilepaskan dan dibebaskan pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. – UTUSAN










