Tidak terima surat mahkamah serah semula RM1.3 juta - Suami pengasas Dnars

Tidak terima surat mahkamah serah semula RM1.3 juta – Suami pengasas Dnars

AHMAD Shah Rizal Ibrahim (kanan) bersama peguamnya di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.  - UTUSAN/FOTO ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suami kepada pengasas produk kecantikan terkenal Dnars, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 48, mendakwa dia tidak mendapat perintah bertulis dari mahkamah supaya  mendepositkan semula wang tunai sebanyak RM1.3 juta milik Allahyarham isterinya.

Katanya, wang itu belum didepositkan semula  kerana dia  tidak  menerima apa-apa arahan bertulis dari Mahkamah Tinggi Syariah.

“Saya hanya tahu dalam media sosial, saya perlu mendepositkan wang RM1.3 juta ke dalam akaun pentadbir bersama harta pusaka itu. Sedangkan arahan bertulis saya tidak terima,” katanya ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shah Rizal, akaun pentadbir bersama harta pusaka itu diurus olehnya dan anak tiri, Aqbar Hakim Jasman.

Katanya, wang RM1.3 juta itu hanya enam peratus daripada harta sepencarian bernilai RM80 juta.

“Yang saya pegang hanya sebahagian kecil, hanya  enam peratus tetapi pihak defendan ada banyak  hutang dengan  duit faraid bernilai RM3.2 juta melebihi yang saya pegang,” katanya.

Berikutan itu, Ahmad Shah Rizal mengarahkan peguamnya, Khairunnasriah Abdul Salam menfailkan injuksi mandatori supaya mereka memulangkan duit itu kerana nyata itu hutang faraid yang mereka pinjam semasa arwah masih ada.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Zaini Sulaiman mengarahkan pihak plaintif iaitu Ahmad Shah Rizal menfailkan  afidavit secara bertulis. Ia bagi menjawab permohonan membatalkan tuntutan harta sepencarian.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh keputusan berhubung permohonan pembatalan saman harta sepencarian.

Sebelum ini media melaporkan ahli waris pengasas produk kecantikan Dnars memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah untuk membatalkan saman harta sepencarian yang difailkan plaintif. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×