Kes fitnah Kampung Sg Baru: Mahkamah rekod kehadiran Rafidah

Kes fitnah Kampung Sg Baru: Mahkamah rekod kehadiran Rafidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menggunakan budi bicaranya untuk menerima masuk kehadiran aktivis, Rafidah Ibrahim dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Keputusan itu dibuat mengikut Aturan 12 Kaedah 5, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Peguam mewakili Khalid, Zulhazmi Shariff berkata, defendan (Rafidah) telah memasukkan kehadiran melalui Tetuan Zharif Nizamuddin.

Bagaimanapun, Zulhazmi berkata, pihak plaintif membantah kerana tindakan itu dibuat selepas tempoh ditetapkan dan memohon agar prosiding diteruskan dengan penghakiman ingkar (JID).

JID ialah keputusan mahkamah yang dikeluarkan terhadap defendan yang gagal memasukkan kehadiran atau pembelaan dalam tempoh ditetapkan selepas diserahkan writ saman atau saman pemula.

“Namun, mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Aturan 12 Kaedah 5, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 dan menerima kehadiran defendan.

“Mengikut peruntukan sama, Rafidah tidak boleh memfailkan pembelaan melainkan dengan kebenaran mahkamah,” katanya selepas pengurusan kes berkenaan dijalankan secara e-review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Syalia Ain Zainuddin.

Sebelum ini, Zulhazmi mengesahkan telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan JID terhadap Rafidah selepas kegagalan aktivis itu memasukkan notis kehadiran bagi menjawab saman tersebut.

Menurutnya, Rafidah mempunyai tempoh 14 hari untuk memasukkan kehadiran bermula dari tarikh afidavit penyampaian ganti diikrarkan pertengahan bulan lalu, namun tempoh itu telahpun tamat.

Kegagalan berbuat demikian menunjukkan defendan tidak memberi maklum balas atau mempertahankan kes mereka, sekali gus boleh mengakibatkan penghakiman muktamad atau interlokutori, termasuk tindakan penguatkuasaan seperti penyitaan harta.

Terdahulu, Khalid dalam sidang akhbar menegaskan akan meneruskan tindakan saman terhadap Rafidah berhubung kenyataan berkaitan status tanah Kampung Sungai Baru.

Khalid turut menolak dakwaan bahawa Kampung Sungai Baru merupakan sebahagian daripada Tanah Rizab Melayu, sebaliknya menjelaskan kawasan itu hanya wujud sekitar 1960 selepas proses pelurusan sungai.

Katanya, geran tanah Kampung Sungai Baru adalah pegangan pajakan (leasehold) selama 99 tahun, sedangkan Enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) digubal pada awal 1900.

Ujarnya, oleh itu adalah mustahil Kampung Sungai Baru termasuk dalam kawasan MAS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN