Rafidah Ibrahim dibebaskan dengan jaminan polis

Rafidah Ibrahim dibebaskan dengan jaminan polis

RAFIDAH IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim yang ditahan kerana disyaki cuba mencetuskan rusuhan semasa majlis pecah tanah di Kampung Sungai Baru di sini, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mereka sebelum ini ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Kita telah beri jaminan semalam, penahanan dibuat di bawah Seksyen 105 kerana kita tidak mahu berlaku apa-apa kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan.

“Kadang-kadang bila sesuatu sudah berlaku barulah mahu bertindak dan ketika itu mungkin sudah terlambat, jadi lebih baik kita ambil langkah pencegahan,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, penahanan empat individu itu dibuat pada pukul 8.50 pagi melibatkan seorang lelaki Melayu, seorang lelaki India dan dua wanita Melayu berusia antara 39 hingga 47 tahun.

Mereka juga didakwa memuat naik seruan mengajak orang ramai turun protes di majlis berkenaan melalui platform TikTok pada 28 November lalu.

Fadil berkata, tindakan diambil selepas polis menerima maklumat awal berhubung kemungkinan wujud ancaman terhadap ketenteraman awam sepanjang majlis tersebut berlangsung.

“Apa sahaja program dalam negara sama ada oleh kerajaan, pihak lain atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keselamatan dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan kami.

“Jika ada apa-apa maklumat yang memberi kesan negatif kepada keselamatan awam, saya tidak akan berkompromi, polis akan ambil tindakan perlu untuk mencegah kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, walaupun semua suspek sudah dibebaskan, namun siasatan lanjut masih diteruskan.
“Kita akan lihat bagaimana siasatan akan dijalankan dan saya akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN