SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) hanya akan mempertimbangkan debat terbuka melibatkan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun jika Barisan Nasional (BN) mengumumkan Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai calon bakal menteri besar dari parti itu.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, jika Jalaluddin bukan merupakan calon Menteri Besar dari BN, tidak sesuai Ahli Parlimen Jelebu itu untuk berdebat dengan Aminuddin.
“Adakah Jalaluddin merupakan calon menteri besar, adakah apabila Jalaluddin mencabar Tok Min (Aminuddin) ini mengesahkan beliau calon Menteri Besar dari BN dan PN?
“Biarlah diumumkan dan diisytihar secara rasmi, kalau beliau salah seorang calon ADUN biasa, maka saya rasa tidak sesuai untuk cabar Tok Min berdebat.
“Biar isytihar dulu, Tok Mat (Mohamad Hasan) isytihar dulu , Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) isytihar dulu iaitu Jalaluddin calon Menteri Besar dari UMNO-BN, barulah boleh kami pertimbangkan,” katanya semasa sidang akhbar PH di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
Hari ini media melaporkan, calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersedia untuk berdebat jika menerima pelawaan pihak lawan. – UTUSAN










