Rafidah diberi tujuh hari bayar saman RM281,200

Rafidah diberi tujuh hari bayar saman RM281,200

RAFIDAH IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selebriti dan aktivis masyarakat, Rafidah Ibrahim diberi tempoh tujuh hari untuk menjelaskan bayaran ganti rugi berjumlah RM281,200 kepada ahli perniagaan, Datuk Haris Embong serta syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd. berhubung kes fitnah di media sosial.

Arahan itu dibuat melalui notis tuntutan rasmi yang dihantar peguam plaintif, Tetuan Izral Partnership pada 19 September lalu selepas notis pertama bertarikh 20 Ogos 2024 tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Rafidah atau wakilnya.

Kes berkenaan berpunca daripada dua hantaran dimuat naik Rafidah di media sosial pada September dan Oktober 2021 yang didakwa mencemar maruah plaintif serta syarikatnya.

Menurut notis tersebut, sekiranya pembayaran gagal dibuat dalam tempoh ditetapkan, tindakan lanjut akan diambil terhadap beliau. Plaintif juga mengekalkan hak untuk menuntut faedah lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi sehingga penyelesaian penuh dilakukan.

Dalam penghakiman bertarikh 31 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Mohd. Johan Lee @ John Lee Kien How mendapati kenyataan yang dibuat Rafidah berunsur fitnah serta mendedahkan plaintif kepada kebencian dan cemuhan.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan Rafidah membayar RM100,000 kepada Haris, RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain kos guaman sebanyak RM30,000 dan fi pengagih RM1,200, menjadikan jumlah keseluruhan RM281,200.

Haris yang juga Pengarah Urusan Arisprop Holdings berkata, pihaknya sudah memberi tempoh yang panjang untuk Rafidah menyelesaikan tuntutan namun perkara itu masih gagal dipenuhi.

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika beliau gagal membuat pembayaran. Tuntutan ini adalah usaha saya dan syarikat untuk membersihkan imej daripada tuduhan fitnah yang dilemparkan.

“Ini perjuangan menuntut hak dan keadilan, selain menghormati keputusan mahkamah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN