KUALA LUMPUR: “Kami tidak mahu pampasan, duit pemaju. Kami hendak tanah warisan ini kekal turun temurun untuk warisan kami.”
Demikian menurut aktivis, Rafidah Ibrahim yang juga salah seorang penduduk Kampung Sungai Baru di sini susulan operasi pengosongan kediaman di kawasan itu.
Dakwanya, proses pengosongan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 sehingga tindakan paksa kepada penduduk telah diambil untuk pampasan.
“Kami tidak mahu pun pampasan, duit pemaju yang tidak seberapa itu.
“Kami hendak tanah warisan ini kekal turun temurun untuk warisan kami. Jadi isu utama kepada Kampung Sungai Baru bukan duit pampasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurutnya, Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) juga masih belum dilaksanakan.
“Ini bermaksud ia masih berpegang kepada undang-undang yang ada buat masa ini iaitu hak 100 peratus individu pemilik rumah untuk setuju atau tidak perlu diperoleh,” ujarnya.
Katanya, jika jiran bersetuju dengan pemaju, hak itu tidak semestinya semua dianggap bersetuju.
Penduduk pula katanya, ada yang tidak bersetuju dan mereka tidak boleh dipaksa.
“Jadi saya mahu tekankan jangan ada sesiapa mainkan isu majoriti dan minoriti. Sekarang ini belum ada URA, belum ada isu majoriti dan minoriti,” ujarnya.
Kelmarin berlaku kekecohan di kawasan perumahan itu apabila kedatangan pihak berkuasa untuk mengosongkan kediaman penduduk yang tidak bersetuju untuk berpindah dihalang oleh penghuni terlibat. – UTUSAN










