SHAH ALAM: Seorang bekas akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM216.478.
Tertuduh Rafidah Basar, membuat pengakuan sedemikian selepas mendengar kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat pengurusan pusat pendidikan awal kanak-kanak, Little Caliphs International Sdn. Bhd. (Little Caliphs) didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram sebanyak enam kali.
Pemindahan tersebut masing-masing berjumlah RM162,000; RM7,535; RM18,720; RM8,223; RM5,000 dan RM15,000 ke dalam akaun miliknya sendiri selepas menipu dan memperdaya individu dalam syarikat tersebut dengan mendakwa pemindahan terbabit bertujuan untuk pembayaran zakat syarikat Little Caliphs.
Transaksi tersebut selain melibatkan pemindahan daripada akaun bank empat individu, tertuduh berusia 29 tahun itu turut memindahkan RM162,000 daripada satu akaun ke akaun bank lain miliknya sendiri.
Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di sekitar Shah Alam antara 30 Ogos 2023 hingga 4 Mac 2024.
Justeru, Rafidah didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, V. Manjira kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Peguam, Iqmal Jamal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sebanyak RM10,000 atas alasan anak guamnya sukar mendapat pekerjaan dan kini berpendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,200 hasil membantu ibunya menjual kuih.
“Tertuduh juga menjaga kakaknya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) bersama ibunya. Anak guam juga memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Hakim Muhamad Anas Mahadzir kemudian memutuskan jumlah jaminan sebanyak RM12,000 atas semua pertuduhan dengan dua orang penjamin.
Selain itu, tertuduh turut diperintah melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan. Beliau kemudian menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 6 Oktober depan. – UTUSAN