SHAH ALAM: Seorang pengurus projek sambilan berdepan 68 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah lebih setengah juta ringgit di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh, R. Vikram Menon mengaku tidak bersalah terhadap selepas lebih sejam kesemua pertuduhan melibatkan 23 kes itu dibacakan ke atasnya oleh dua jurubahasa.
Mengikut kesemua pertuduhan berkenaan, tertuduh berusia 46 tahun itu didakwa melakukan 460 transaksi pemindahan termasuk 159 pengeluaran wang berjumlah RM688,916.85 hasil daripada aktiviti haram antara 17 Oktober 2023 hingga 15 Oktober tahun lalu dekat sebuah cawangan bank di Damansara.
Transaksi tersebut didakwa dibuat kepada 67 akaun milik individu-individu berbeza melibatkan jumlah antara RM1,000 hingga RM90,463.33 termasuk pemindahan wang kepada sebuah hospital swasta berjumlah RM20,000.
Justeru, Vikram Menon dakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang
daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din mencadangkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Syarat tambahan lain adalah melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam S. Kulasegaran memohon jaminan keseluruhan sebanyak RM30,000 dengan alasan ikat jamin bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan menghukum.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin beralamat tetap di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Tertuduh juga perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan,” katanya. – UTUSAN