KUALA SELANGOR: Pas didakwa menampilkan sikap yang berbeza-beza di hadapan khalayak tertentu demi meraih sokongan politik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau mempertahankan kenyataannya terhadap kepimpinan Pas dan membidas parti Islam itu kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak konsisten membabitkan isu babi.
“Saya hendak jelaskan kemunafikan mereka. Bila serang kita menggila dan melulu, tetapi bila bertemu wartawan Cina mereka kata hendak buka ladang babi. Tetapi tak menafikan kemunafikan pimpinan PAS dalam buat kenyataan tak bertanggungjawab.
“Kerana di satu saat mereka membakar sentimen kaum bila berceramah dengan orang Melayu, tetapi pada masa sama bila bertemu masyarakat Tionghua jadi ‘Pas for all’ boleh pulak hendak buka ladang babi.
“Halal pula hendak buka ladang babi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembangunan Ladang Solar Skala Besar 5 (LSSB 5), Projek Solar Skala Besar Bestari, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gombak itu mengakui ucapannya dalam satu rakaman video ketika Konvensyen PKR Selangor baru-baru ini bersifat emosional dan memohon maaf atas perkara itu.
“Kita jadi orang kena konsisten. Kalau tidak konsisten kita hipokrit. Bahasa syariahnya adalah munafik. Mungkin marah sikit (waktu itu)…Minta maaf zahir batin sempena puasa,” ujarnya. – UTUSAN









