SEREMBAN: Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis di Jalan Temiang pada 18 Ogos lalu.
Tertuduh, K.Kelvin Raj, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta Perodua Bezza telah memandu dengan kandungan alkohol yang banyak dalam badan melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kematian Naim Mullah Mohd. Affandi berusia 23 tahun lebih kurang pukul 1.25 pagi di Jalan Temiang berhampiran Sekolah Kebangsaan Temiang di sini pada 18 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tifak kurang 10 tahun maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM10,000 sehingga RM100,000.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shafatihah Nor Azmi menawarkan jaminan sebanyak RM60,000 kerana dikhuatiri tertuduh boleh melarikan diri jika jaminan rendah dikenakan selain memohon lesen memandunya digantung.
Peguam A.Krishnaveni yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling minima memandangkan anak guamnya akan dijamin oleh ibunya seorang ibu tunggal dan menanggung empat orang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen tertuduh digantung serta-merta dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Oktober depan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat Konstabel maut selepas motosikalnya dirempuh pemandu Perodua Bezza mabuk dalam kemalangan dekat Temiang di sini awal pagi 18 Ogos lalu.
Mangsa yang bertugas di Balai Polis Jalan Campbell di sini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut dan dan anggota polis itu meninggal dunia di HTJ pada pukul 2.14 pagi yang yang sama selepas hampir satu jam bertarung nyawa selepas kemalangan berlaku. – UTUSAN










