KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berkaitan perisytiharan harta.
Hakim K. Muniandy ketika membacakan keputusannya berkata, permohonan itu tidak bersifat remeh, sebaliknya menimbulkan persoalan penting yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah.
“Persoalan yang dikemukakan adalah signifikan terhadap peruntukan undang-undang dengan menggunakan prinsip perundangan terkini.
“Keputusan kes ini akan memberi kesan besar kepada hak individu yang dipanggil sebagai saksi termasuk pemohon (Na’imah) sendiri dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Persoalan undang-undang yang dirujuk itu melibatkan Seksyen 30 (5), Seksyen 36 (2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32 (3) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 30 (5) dan Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan dan hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan yang akan digunakan dalam suatu prosiding terhadapnya serta hak dirinya untuk suatu perbicaraan adil.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 30 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Na’imah sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 29 Januari 2024 atas pertuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta yang dikeluarkan oleh SPRM.
Harta-harta tersebut melibatkan dua buah syarikat Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedes Benz.
Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai, kediaman di Persiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.
Sebulan kemudian, beliau memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung peruntukan tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pada 18 Februari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menolak permohonan tersebut dengan alasan ia tidak mempunyai merit serta tidak menimbulkan persoalan perlembagaan untuk diputuskan.
Beliau kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.
Na’imah diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How. – UTUSAN










