Tidak pertikai Titah Adendum wujud, pertikai cara dikemukakan

Tidak pertikai Titah Adendum wujud, pertikai cara dikemukakan

SHAMSUL BOLHASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memaklumkan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum tersebut sebaliknya mempertikaikan cara dokumen terbabit dikemukakan ke mahkamah untuk diterima sebagai bukti baharu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, dalam apa jua keadaan, prosedur dalam mengemukakan bukti baharu hendaklah dipatuhi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim pada prosiding rayuan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan bukti baharu.

Turut bersidang ialah Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Hakim Hasnah: Penguam menyatakan bahawa pihak AGC tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum.

Shamsul: Ya. (Tetapi) apa pun, prosedur untuk memasukkan bukti baharu mestikah dipatuhi. Kami mengekalkan pendirian kami (dan) kami bergantung kepada hujahan bertulis. Kami serahkan semuanya kepada mahkamah.

Bukti baharu itu membabitkan afidavit anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Pahang.

Pada prosiding terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dalam hujahannya menyatakan, Najib gagal menjalankan usaha wajar (due diligence) dalam memastikan kewujudan Titan Adendum tersebut bagi membolehkan dokumen terbabit dikemukakan pada peringkat Mahkamah Tinggi.

Kegagalan tersebut, tambah Mohd. Dusuki, telah menyebabkan permohonan untuk memasukkan Titah Adendum tersebut sebagai bukti baharu menjadi tidak kukuh.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahan balasnya menyatakan, tugas untuk mendedahkan segala Peguam Negara mempunyai kewajipan berterus terang (duty of candor) kepada mahkamah dan tidak boleh menyembunyikan fakta material.

“Persoalan sama ada Titah Adendum tidak diperoleh dengan usaha wajar yang munasabah ketika prosiding di Mahkamah Tinggi adalah tidak relevan kerana pembuat afidavit bagi pihak responden jelas mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan salinan titah terbabit disebabkan kerahsiaannya pada masa itu.

“Responden juga berhujah bahawa beliau telah berusaha secara munasabah dan dengan ketekunan yang wajar untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan dokumen berkenaan,”katanya.

Tambah peguam itu, pihaknya hanya boleh mengemukakan dokumen terbabit ke mahkamah selepas mendapat keizinan Istana Pahang.

Menurut Muhammad Shafee, selepas kebenaran diberikan pada 2 Disember 2024 daripada Istana Pahang, Najib segera memfailkan untuk memasukkan bukti baharu itu di mahkamah dan tindakan pantas itu menunjukkan tiada kelewatan yang tidak wajar dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah melaksanakan tanggungjawabnya.

Pada 28 April lalu, Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon, terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak atas kapasitinya.

Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baharu yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.

Pada 6 Januari 2025, Mahka­mah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana res­ponden yang dinamakan da­lam permohonan memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Je­neral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN