PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan menerima laporan penuh siasatan berkaitan sejumlah wang tunai yang disita berkait dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta setiausaha politiknya, Datuk Anuar Mohd. Yunus.
AGC berkata, laporan penuh siasatan berkenaan diterima pada 12 September lalu dan akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dibuat.
“Tindakan pelucuthakan harta kepada kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai itu telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaras dengan peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
“Proses pelucuthakan harta dan pertuduhan jenayah adalah dua aspek berbeza. Sehubungan itu, walaupun tindakan pelucuthakan harta telah dimulakan SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita SPRM dan dipercayai milik Ismail Sabri kini secara rasmi menjadi hak kerajaan serta telah dimasukkan ke akaun kerajaan.
Azam berkata, perkara itu susulan keputusan responden iaitu Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.
AGC berkata, proses penelitian laporan penuh siasatan itu akan dibuat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keterangan dan elemen-elemen pembuktian kes sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat dibuat.
“Sebarang keputusan kes akan dimaklumkan selepas proses penelitian laporan penuh siasatan selesai. Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bebas, telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










