PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa menjelaskan status pembatalan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Negeri Sembilan yang didakwa berlaku lebih awal berbanding isu proklamasi dan penggantungan pegawai kanan kerajaan negeri.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, AGC sebelum ini dilihat pantas mengeluarkan kenyataan berhubung kesahan proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar Negeri Sembilan.
Menurutnya, tindakan sama turut diambil AGC dalam isu penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
“Dalam isu penggantungan SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri, AGC cepat mengeluarkan kenyataan.
“Tetapi dalam isu pembatalan pelantikan Exco Negeri Sembilan yang berlaku lebih awal, mengapa AGC berdiam diri?
“Sah atau tidak, AGC perlu mengeluarkan penjelasan mengenai perkara itu juga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, AGC memaklumkan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain itu, AGC turut menjelaskan bahawa Exco tidak mempunyai kuasa dari sudut perundangan untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri kerana kedua-dua jawatan tersebut berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.- UTUSAN











