41 siasatan kes jenayah babit ahli politik diklasifikasi NFA

41 siasatan kes jenayah babit ahli politik diklasifikasi NFA

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 daripada 60 kertas siasatan membabitkan kes jenayah terhadap ahli politik sejak 2020 hingga Julai lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, siasatan atau semakan semula terhadap kes terbabit masih boleh dijalankan sekiranya wujud perkembangan baharu pada masa hadapan.

“Berdasarkan maklum balas Jabatan Peguam Negara (AGC), sepanjang 2020 hingga Julai lalu, 60 kertas siasatan dibuka terhadap ahli politik dengan 41 daripadanya diklasifikasikan sebagai NFA.

“Namun, kes jenayah tidak seperti kes sivil kerana ia tidak tertakluk kepada had tempoh masa. Jika terdapat perkembangan baharu, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail berhubung peratusan kes jenayah membabitkan ahli politik yang diklasifikasikan sebagai NFA antara 2020 hingga 2025.

Azalina berkata, AGC akan meneliti secara menyeluruh semua keterangan yang dikemukakan polis tanpa mengambil kira latar belakang individu disiasat berhubung mekanisme atau garis panduan bagi memastikan klasifikasi NFA tidak dipengaruhi campur tangan politik.

“Penilaian dibuat berasaskan fakta, bukti dan undang-undang yang terpakai dengan mengambil kira prinsip integriti, ketelusan serta kebebasan pendakwaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN