SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak serta menyamun seorang remaja antara April hingga Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hassan membuat pengakuan demikian selepas mendengar kesemua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam Bahasa Urdu.
Mengikut pertuduhan, Muhammad, 24, didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun tanpa kerelaannya di Dewan Sri Angkasa, Seksyen 27, di sini pada pukul 1.30 petang, 18 April lalu.
Lelaki durjana itu kemudian dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 13 tahun masing-masing di Pangsapuri Sri Angkasa, Seksyen 28 serta di kawasan semak berhampiran Sekolah Kebangsaan Alam Megah 2, Seksyen 27, pada pukul 1.30 petang, 27 Mei dan awal bulan lalu.
Kemudian, dia juga dituduh merompak RM230 milik seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di dalam hutan bersebelahan Jalan Kota Raja 27/G, Seksyen 27 pada pukul 10.05 malam, 26 Jun lalu.
Bagi kesalahan meliwat, Muhammad dituduh di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Sementara bagi pertuduhan amang seksual fizikal, dia dituduh di bawah Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan merompak, Muhammad dituduh di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal dan Ruthra Raj Selvarajoo tidak mencadangkan tawaran jaminan terhadap tertuduh.
Namun, Muhammad yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah menyediakan peguam untuk mewakili dirinya memandangkan dia tidak mempunyai ahli keluarga lain di negara ini.
Bagaimanapun, Hakim Norazlin Othman kemudiannya meminta tertuduh merujuk sendiri kepada pegawai penyiasat bagi membantunya mendapatkan peguam. Mahkamah menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Muhammad Hassan dipercayai cuba melarikan diri ke negara jiran, ditahan polis Kuala Nerang, Kedah pada 8 Julai lalu.
Dia yang sepatutnya dituduh pada minggu lalu ditangguhkan ke hari ini kerana ketiadaan jurubahasa Bahasa Urdu kerana tidak memahami Bahasa Melayu dan Inggeris. – UTUSAN