SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan masih menjalankan urusan syarikat walaupun disabitkan kesalahan sebelum ini.
Tan Siew Moi membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Siew Moi, 60, dituduh bertindak secara langsung dalam syarikat Rekabina Construction Sdn. Bhd. dengan menandatangani dua keping cek pada 29 Ogos 2024 sebagai pengarah syarikat tanpa izin mahkamah ketika dia disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan pada 2 Februari 2024.
Sehubungan itu, Siew Moi didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 198(1)(c) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan boleh dihukum di bawah seksyen 198(7) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum R1 juta atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Raya Muhammad Akmal Azmi memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Denial Khairul Hizam, memohon kadar jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah kemudian menetapkan kadar ikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 April.
Pada 6 Januari 2023, Siew Moi bersama suaminya, Tan Ching Peng dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menyalahgunakan harta dan pecah amanah terhadap syarikat mereka.
Masing-masing dituduh atas enam dan 18 pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah terhadap syarikat mereka sendiri, Rekabina Construction Sdn. Bhd. berjumlah keseluruhan RM602,000. – UTUSAN










