SABAK BERNAM: Jabatan Perikanan (Perikanan) Negeri Selangor menyita 160 guni anak kerang dan menahan empat lelaki dalam satu operasi rondaan serta pemantauan darat di sekitar daerah ini, semalam.
Operasi yang dijalankan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) kira-kira pukul 5.40 petang itu menemukan aktiviti memunggah anak kerang ke dalam sebuah lori di sebuah jeti di kawasan Bagan Sungai Pulai.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen lesen atau kebenaran berkaitan aktiviti pengambilan kerang dapat dikemukakan ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam operasi tersebut, Perikanan Selangor turut menyita sebuah lori tiga tan, tujuh unit tangguk bergalah halus serta satu dokumen berkaitan urus niaga.
Manakala empat individu warga tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 60-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002 kerana disyaki mengambil anak kerang dari tapak semula jadi atau tapak kultur.
Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM107,500.
Pengarah Perikanan Negeri Selangor Noraisyah Abu Bakar dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perikanan.
“Khususnya membabitkan sumber bernilai tinggi seperti kerang yang menjadi sumber ekonomi penting komuniti nelayan tempatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penangkapan atau pengambilan sumber perikanan secara tidak sah diminta menyalurkan maklumat kepada pejabat perikanan berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN










