RAUB: Empat lelaki warga Myanmar masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Raub hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menceroboh dan menjalankan aktiviti tanpa kebenaran di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Tranum, di sini.
Keempat-empat tertuduh, iaitu Aung Moe Lin, 32, Lin Pyi Tun, 20, Ti Ding, 33, dan Aung Yar Lin, 25, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka melakukan kesalahan menduduki dan menjalankan aktiviti di atas tanah pada 18 Jun lalu, kira-kira pukul 1.20 petang di dalam Hutan Simpan Tranum, daerah Raub tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Semasa serbuan dilakukan, kesemua tertuduh turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit pertanian yang sah. Dengan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang telah diterima pakai oleh Negeri Pahang melalui Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didapati memasuki Kompartment 1, Hutan Simpan Tranum tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Oleh itu mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 47(4) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 47(1) dan sembilan bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 32(1).
Namun, Noor Zaihan memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 18 Jun lalu. – UTUSAN










