SHAH ALAM: Seorang bapa bekerjaya sebagai akauntan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meninggalkan dua anak kandung penghidap autistik dan buta tanpa sebarang pengawasan pada Mac lalu.
Bagaimana pun tertuduh Thaha Abdul Latef, 39, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, Thaha didakwa meninggalkan anak lelakinya berusia 10 tahun dan anak perempuan berusia 12 tahun tanpa menyediakan sebarang keperluan mencukupi bagi pengawasan yang berpatutan kepada kedua-dua anaknya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Elmina Valley 1, Seksyen U16 di sini kira-kira pukul 4 petang pada 15 Mac lalu. Justeru dia dituduh di bawah Seksyen 33 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 33 akta sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Kemudian, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal mencadangkan jaminan keseluruhan RM60,000 bagi semua pertuduhan bersama seorang penjamin dan syarat tambahan daripada pihak mahkamah.
Namun, Peguam Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman dikurangkan antara RM15,000 hingga RM25,000 bagi semua pertuduhan.
“Anak guam saya bekerja sebagai akauntan dengan pendapatan RM7,000 serta berkahwin kali kedua dengan seorang doktor pakar dan mempunyai dua orang anak.
“Mohon dikecualikan syarat tidak mengganggu anak-anak (mangsa) ekoran Mahkamah Syariah sudah pun memberi perintah kebenaran berjumpa pada Jumaat dan Sabtu antara 9 pagi hingga 9 malam,” katanya.
Hakim Norazlin Othman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport untuk disimpan oleh mahkamah dan menetapkan sebutan semula pada 4 September depan. – UTUSAN