SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan seorang mahasiswa bidang pendidikan Bahasa Inggeris diikat jamin sebanyak RM8,000 atas pertuduhan menghendap Timbalan Pendakwa Raya pada Ogos 2023 hingga akhir tahun lalu.
Majistret Ameera Mastura membenarkan jumlah jaminan itu terhadap tertuduh, T. Ruebenraj selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding sebutan semula kes.
Tertuduh yang berusia 32 tahun itu pada 17 Februari lalu mengaku tidak bersalah secara berulang mengganggu seorang wanita berusia 27 tahun dengan cara mengikuti prosiding mahkamah di tempat mangsa bertugas.
Mahkamah tersebut di Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor dan Sungai Besar antara Ogos 2023 hingga November tahun lalu. Tindakan itu telah mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Justeru, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kemudian, Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi memohon mahkamah mengekalkan jaminan RM10,000 yang ditetapkan sebelum ini.
“Tertuduh juga layak untuk dibicarakan. Mohon tetap tarikh bicara memandangkan tertuduh tidak mengaku salah,” katanya.
Sementara peguam yang mewakili Ruebenraj, Khairul Naim Rafidi memohon jaminan dikurangkan memandangkan terdapat perkembangan baru dan tertuduh sebelum ini tidak diwakili peguam.
“Tertuduh merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di sebuah universiti swasta dan tiada rekod lampau.
“Anak guam saya menghidap penyakit bipolar disorder dan schizoaffective disorder dengan mendapat rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selain pemegang kad Orang Kurang Upaya.
“Saya mempunyai kebimbangan sekiranya jamin terlalu tinggi diberikan, tertuduh akan ditempatkan di penjara dan faktor kesihatannya akan terabai.
“Mohon Mahkamah pertimbangkan jenis kesalahan yang mana kesalahan ini adalah dibawah kategori kesalahan tidak serius berdasarkan Seksyen 52A Kanun Keseksaan,” katanya.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Julai, mahkamah juga menetapkan jaminan itu bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh ganggu saksi. – UTUSAN