KUALA SELANGOR: Bekalan ubat-ubatan bagi penyakit tuberculosis (tibi) dijamin mencukupi walaupun terdapat peningkatan kes baharu di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun langkah pencegahan perlu diamalkan termasuk etika batuk betul terutama bagi yang bergejala dan memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak.
“Insya Allah (bekalan) ubatan-ubatan kita setakat ini masih cukup.
“Selain memakai pelitup muka, kita perlu memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup. Jika masih mengalami batuk berterusan, mereka perlu segera mendapatkan pemeriksaan atau rawatan perubatan,” katanya selepas melancarkan program Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan, semalam.
Malah beliau memaklumkan, bulan Ramadan juga bukanlah penyebab utama penularan penyakit bawaan udara itu.
Justeru, Dzulkefly menambah, mereka yang bergejala turut dinasihatkan mengelakkan perbualan atau komunikasi panjang dengan mana-mana individu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebanyak 3,161 kes tibi direkodkan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026) dengan 596 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh terbaru pemantauan.
Kementerian Kesihatan berkata, Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 755 kes atau 23.88 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti Selangor sebanyak 596 kes (18.85 peratus) dan Sarawak 332 kes (10.50 peratus).
Johor merekodkan 280 kes manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 244 kes.
Sebanyak 181 kes baharu turut dilaporkan di Kedah, diikuti Pulau Pinang (172), Perak (154), Kelantan (121), Pahang (103), Terengganu (74), Negeri Sembilan (62), Melaka (48), Perlis (21) serta Wilayah Persekutuan Labuan (18). – UTUSAN










