SHAH ALAM: Bekas Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor, dipenjara enam bulan dan denda RM25,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerima rasuah RM5,000 pada lima tahun lalu.
Hukuman tersebut dijatuhkan ke atas Khusairi Husain, 59, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Justeru, tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda.
Namun, mahkamah juga membenarkan penangguhan hukuman sehingga proses rayuan dibuat dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM8,000 kepada RM9,000.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin dalam penghakimannya memberitahu tertuduh mengakui wang RM5,000 itu diterima dan digunakan bagi Kelab Kebajikan dan Sukan LKIM Selangor, namun gagal mengemukakan sebarang resit atau sokongan.
“Tertuduh gagal mengemukakan sebarang resit dan dokumen sokongan bagi membuktikan wang itu diserahkan kepada kelab berkenaan malah turut mengakui sebahagian wang itu digunakan untuk tujuan lain.
“(Justeru) Pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada bukti konsisten dan konkrit. Jadi, pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan melebihi munasabah dalam kes ini,” katanya.
Sebelum ini Khusairi didakwa menerima untuk dirinya wang tunai tersebut daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang dalam pembekalan baja, benih dan racun, yang dia ketahui badan itu ada kena-mengena dengan tugasan rasminya di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar pada 24 November 2020.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding itu, peguam Adly Zulfadly Zulkefly mewakili tertuduh dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya merupakan bapa tunggal yang menyara anak-anak masih bersekolah dan bapa yang sakit di kampung.
“Anak guam sudah berkhidmat hampir 30 tahun dan merupakan penerima anugerah perkhidmatan cemerlang di jabatannya serta tidak mempunyai rekod jenayah. Tertuduh sehingga hari ini telah digantung tugas dan dibekukan jawatan dan tidak lagi berkhidmat seperti mana ditugaskan dalam jawatannya.
“Jadi, harap denda yang minimum selain penangguhan hukuman dengan pihak pembelaan bersepakat memfailkan rayuan (sabitan dan hukuman),” hujahnya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shahruzaman menegaskan sebagai pengarah tidak sepatutnya menunjukkan teladan yang tidak baik kepada orang bawahannya dan masyarakat umumnya.
“Mohon hukuman berat dan setimpal dengan mahkamah tidak perlu menunjukkan simpati selepas tertuduh didapati bersalah dengan kesusahan (ekonomi) tertuduh,” jelasnya.
Seramai 18 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding yang bermula 2022. – UTUSAN