KUALA LANGAT: Pemandu lori 10 tan yang tular akibat melanggar seorang pekerja syarikat kurier multinasional sehingga menyebabkan maut mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, S. Mohanatas membuat pengakuan demikian selepa pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Maslinda Selamat.
Mengikut pertuduhan, Mohanatas, 32, didakwa memandu lori secara cuai dan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Mohd. Nazri Samsuri, 43.
Kejadian itu berlaku dekat Kilometer 13, Jalan Banting – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 14 Mei lalu.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan ketetapan lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bersama seorang penjamin memandangkan kes melibatkan kematian.
“Kes melibatkan kematian .Mohon tarikh baharu bagi serahan laporan bedah siasat, kimia dan patologi,” jelasnya.
Sementara itu, peguam T. Mishant yang mewakili tertuduh dalam mitigasinya memberitahu pendapatan anak guamnya adalah sebanyak RM1,800 dan sudah berkahwin namun belum mempunyai anak.
“Tidak patut tertuduh dibebani dengan nilai jaminan yang tinggi. Mohon jaminan RM3,000 ditetapkan sementara kes ini dibicarakan di mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, Mohanatas ketika disoal Majistret Maslinda mengakui tidak mempunyai lesen memandu, justeru mahkamah memutuskan jaminan RM8,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan selain menetapkan sebutan semula pada 26 Jun depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dekat Jalan Labohan di Banting, semalam dipercayai akibat dilanggar oleh sebuah lori dari arah belakang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 40-an itu sedang berhenti di lampu merah, namun dilanggar dari arah belakang oleh lori berkenaan lalu tercampak sebelum terperosok di bawah kenderaan berat itu dan meninggal dunia di tempat kejadian. – UTUSAN