BATU PAHAT: Seorang pemandu van sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun pada 30 April lalu.
Tertuduh, Yau Chee Weng, 56, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Khalid Ab. Karim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dua bulan sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di dalam sebuah van di hadapan sebuah tadika di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri antara pukul 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, 30 April lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam bela Goh Toh Jen.
Mohamad Khalid membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.
Pada 1 Mei lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas tertinggal dalam van sekolah selama lebih empat jam di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri. – UTUSAN