SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat pembuatan kerana gagal hadir menghadapi pertuduhan kes pecah amanah berjumlah RM39 juta.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Law Chin How memohon satu waran tangkap ke atas Mak Siew Wei, 50.
Chin How memberitahu mahkamah bahawa pihaknya percaya lelaki itu melarikan diri bagi mengelak didakwa di mahkamah.
“Lelaki itu ditahan SPRM pada 5 Mac lalu namun dilepaskan dengan jaminan pada hari sama. Kami selepas itu cuba mengesan dan pergi ke alamat beliau namun isterinya memberitahu tidak tahu keberadaan suaminya sehingga kini,” katanya.
Tambah beliau, tiada laporan polis dibuat mengenai kehilangan itu dan pihaknya turut membuat hebahan media bagi mengesan Siew Wei.
“Justeru, kami pada 29 April lalu memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam ke atas lelaki itu supaya menghadiri prosiding pendakwaan.
“Kami juga telah menyerahkan saman itu kepada isterinya pada 13 Mei lalu sekali gus menyempurnakan peruntukan Seksyen 35 dan 36 Kanun Tatacara Jenayah,” ujarnya.
Mohd. Nasir yang meneliti permohonan itu kemudian mengeluarkan waran tangkap tersebut.
Difahamkan, Siew Wei berdepan 14 pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan kes pecah amanah berjumlah RM39 juta antara Jun 2020 hingga November 2021.
Pada 22 Mac lalu, SPRM meminta kerjasama orang ramai mengesan lelaki itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Siew Wei beralamat terakhir di No. 33, Jalan PJU 8/12C, Rafflesia Damansara Perdana, Petaling Jaya. – UTUSAN