SHAH ALAM: Isteri bekas pemain bola sepak kebangsaan Safee Sali, Fitria Elfina Maharip memperoleh hak penjagaan anak mereka, Shanika Salsabilah dan Shania Safina di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Fitria Elfina, 44, sebagai plaintif manakala Safee atau Mohd. Safee Mohd. Sali, 42 bersetuju dengan tuntutan hak penjagaan anak atau hadhanah di hadapan ketika prosiding sebutan semula di hadapan Hakim Syarie, Salehan Yatim.
Peguam syarie yang mewakili Fitria Elfina, Putri Ummi Kartini Abd. Latiff berkata, pihaknya bertemu dengan peguam yang mewakili Safee Sali beberapa kali untuk membincangkan syarat persetujuan termasuk hadhanah dan lawatan.
“Alhamdulillah, kedua-dua pihak bersetuju. Dua pihak (Fitria dan Safee Sali) bersetuju untuk berbincang secara damai bagi menyelesaikan tuntutan hadanah.
“Tahniah berjaya membuat perjanjian mengenai hak penjagaan anak. Harap dua pihak dapat melaksanakan semua yang dijangkakan. Harap tiada konflik baru. Jika ada perkara mendesak, baru datang kembali ke mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambahnya, butiran keputusannya iaitu hak penjagaan diberikan kepada Fitria Elfina sementara Safee pula memperoleh hak lawatan yang mengikut terma dan masa sesuai.
Bagaimanapun, Safee Sali ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah itu enggan mengulas atau memberi sebarang kenyataan berhubung keputusan tersebut. – UTUSAN