Dua rakan dijel 15 bulan, curi wang tabung masjid

Dua rakan dijel 15 bulan, curi wang tabung masjid

KEDUA-dua tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencuri duit kutipan tabung masjid dan surau. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua rakan dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah mencuri duit kutipan tabung masjid dan surau, April lalu.

Majistret Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Hafiez Kamarudin, 30, dan Muhammad Hakimi Aiman Asbullah, 19, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati dengan niat curang telah mencuri duit tabung masjid dan memecah masuk masjid kesemuanya dalam daerah Melaka Tengah antara 5 April 2025 hingga 13 April lalu.

Kesalahan itu dilakukan di Masjid Ass-Sobirin, Kampung Gelam; Surau Ar-Nir, Taman Sri Krubong dan Masjid Al Hilal, Pantai Rombang, Tanjung Keling mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM2,060.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Bagi kesalahan pecah bangunan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika kesalahan yang dimaksud hendak dilakukan iaitu kesalahan mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang rendah dikenakan bagi semua pertuduhan dan berjalan secara serentak kerana perlu menjaga ibu bapa yang sakit serta ahli keluarga tidak bekerja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad memohon agar hukuman setimpal dikenakan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan berjumlah 15 bulan bermula dari tarikh ditangkap dan denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya