Seorang lagi suspek kes tetak lelaki dengan parang ditahan

Seorang lagi suspek kes tetak lelaki dengan parang ditahan

SALAH seorang suspek diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, Jasin, Melaka untuk permohonan reman. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Polis menahan reman seorang lagi suspek kes bunuh seorang lelaki yang ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan suspek bertopeng dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di sini, Ahad lalu.

Perintah reman sehingga 2 September ini dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap polis berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Jasin kira-kira pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis.

Semalam, tiga suspek berusia 21, 22 dan 31 tahun turut direman selama tujuh hari sehingga 1 September ini di bawah seksyen sama.

Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan bagi kes itu untuk kesalahan ugutan, merusuh dan khianat terhadap kenderaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, polis masih memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas.

“Suspek ditangkap di Jalan Jasin Bestari kira-kira pukul 11 malam semalam. Setakat ini empat suspek yang berusia antara 21 dan 31 tahun telah direman selama tujuh hari manakala suspek yang masih bebas sedang diburu,” katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki berusia 24 tahun dilaporkan maut selepas ditetak sekumpulan suspek bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru.

Dalam kejadian pada pukul 8.39 malam itu, mangsa cuba diselamatkan oleh adiknya yang berusia 22 tahun dengan membawa mangsa ke hospital, namun kumpulan berkenaan mengejar sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Kumpulan itu turut bertindak mengepung kereta adik mangsa sebelum memecahkan cermin kenderaan tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 10.15 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×