Menangis selepas didakwa rogol anak saudara tiri

Menangis selepas didakwa rogol anak saudara tiri

TERTUDUH (kanan) diiring keluar anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka atas dua pertuduhan merogol anak saudara tirinya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pembantu kedai makan menangis teresak-esak selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak saudara tirinya yang berusia 12 tahun.

Tertuduh yang berumur 19 tahun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tanpa kerelaannya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi dan 2.30 pagi di sebuah lot bernombor, Kampung Paya Datuk dalam daerah Alor Gajah pada 18 Februari dan 23 Februari 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja di kedai makan dan bapanya bekerja sebagai pemandu lori.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN