Akauntan didenda RM4,500, pasang CCTV dalam tandas

Akauntan didenda RM4,500, pasang CCTV dalam tandas

TERTUDUH diiring anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menganggu kesantunan rakan sekerja wanita. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam tandas untuk mengganggu kesantunan rakan sekerja wanita, seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Chong Soon Hoe, 25, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dengan cara memasang CCTV dalam plastik tisu di tandas yang akan mengganggu kesantunan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah premis di Jalan Tun Perak dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, mangsa seorang ejen cukai yang bekerja di syarikat itu telah melihat CCTV tersembunyi dalam plastik tisu ketika berada di tandas pada hari kejadian.

Mangsa kemudian memeriksa CCTV menggunakan komputer riba dan mendapati kamera itu dipasang oleh tertuduh, selain terdapat rakaman video dirinya ketika berada dalam tandas.

Peguam Kent Tan Chow Teng mencadangkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik dengan alasan anak guamnya merupakan pelajar cemerlang dan kali pertama melakukan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian membantah cadangan tersebut dan memohon hukuman setimpal selepas mengambil kira fakta kes serta kepentingan awam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN