MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendenda seorang pengarah syarikat kepada rangkaian restoran mamak dengan nilai RM15,000, selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki barang berjadual iaitu minyak masak dan gula melebihi kuantiti dibenarkan.
Tertuduh, Fadzil A. Bakar, 66, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati ada dalam milikannya barang berjadual iaitu 267 unit minyak masak peket satu kilogram (kg), 253 unit gula pasir kasar satu kg dan 48 unit gula pasir kasar (gula jernih) satu kg.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.45 pagi di sebuah premis perniagaan di Pusat Perniagaan Jelatang dalam daerah Alor Gajah pada 12 Disember 2023.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu dalam perjalanan perniagaan, menggunakan barang berjadual yang dinyatakan dalam Bahagian IV Jadual melebihi kuantiti seperti mana Bahagian IV Jadual.
Mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suhana Mohd. mencadangkan hukuman setimpal diberikan selepas mengambil kira kesalahan itu membabitkan barangan kawalan serta peningkatan kes melibatkan barangan subsidi.
Peguam Maligaa Radhakrishnan merayu agar satu hukuman berbentuk denda dikenakan, memandangkan anak guamnya telah berusia 66 tahun dan mempunyai penyakit jantung.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar.
Pada 12 Disember 2023, Utusan Malaysia melaporkan, tindakan tidak bertanggungjawab sebuah restoran mamak di Pusat Perniagaan Jelatang yang menyembunyikan lebih 550 kg minyak masak peket dan gula bersubsidi terbongkar selepas lokasi itu diserbu KPDN.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, kuantiti barang kawalan yang diseleweng itu mampu dimanfaatkan kira-kira 133 isi rumah.
Beliau berkata, minyak masak peket dan gula berkenaan disorok dalam stor dan di bahagian bawah tangga manakala pemilik premis tidak mempunyai permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN










