Juruteknik didakwa 12 pertuduhan rogol, amang seksual anak tiri

Juruteknik didakwa 12 pertuduhan rogol, amang seksual anak tiri

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol dua anak tirinya sejak Mac tahun lalu. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang juruteknik swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol dua anak tirinya sejak Mac tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 12 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

Berdasarkan enam kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 16 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang hingga 11 malam di sebuah rumah bernombor di Taman Merlimau Emas Seksyen 2, Merlimau dalam daerah Jasin antara Mac 2023 hingga Januari 2024.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Tertuduh turut didakwa tiga pertuduhan di bawah Seksyen 377 CA kerana melakukan amang seksual menggunakan objek terhadap mangsa yang berusia 11 tahun antara Mac 2023 hingga Januari 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Sementara itu, tertuduh juga berdepan tiga pertuduhan merogol di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan terhadap mangsa berusia 11 tahun pada Mei 2023 dan Januari 2024.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua pertuduhan dan dikenakan syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih menanggung ibu berusia 72 tahun.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin warganegara, pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka setiap bulan.

Tertuduh dan pihak lain juga dilarang menghubungi dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya