Tetap pengubahan wang walaupun masuk akaun sama - Saksi kes Najib - Utusan Malaysia

Tetap pengubahan wang walaupun masuk akaun sama – Saksi kes Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa melakukan pemindahan wang dari satu akaun ke akaun lain, namun transaksi itu dianggap kesalahan di bawah undang-undang pengubahan wang haram.

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min berkata, perkara itu juga termasuk pengubahan wang haram kerana tindakan berkenaan dilihat cuba mengelirukan pihak berkuasa. 

Saksi pendakwaan ke-48 (SP48) itu menjawab bahawa dari sudut pandangan teori layering atau berlapis iaitu pengeluaran dari satu akaun ke akaun lain dan ia masih undang-undang pengubahan wang haram.

Bagaimanapun peguam Najib, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan persoalan bahawa transaksi itu bukanlah satu kegiatan pengubahan wang haram.

Namun Wei Min tidak bersetuju dengan cadangan soalan peguam bela Najib tersebut.

Transaksi ini merujuk tindakan Najib yang didakwa memindahkan wang RM150 juta dan RM12 juta masing-masing pada 27 Ogos 2013 dan 30 Ogos 2013 ke akaun miliknya ke akaun beliau yang lain.

Dalam pada itu, Wei Min di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bersetuju dengan soalan Muhammad Shafee bahawa transaksi wang daripada akaun Najib dibelanjakan untuk ahli politik dan entiti tertentu.

Saksi itu juga bersetuju dengan soalan peguam tersebut bahawa wang itu bukan untuk tujuan peribadi termasuk membeli kapal layar.

Najib, 70, kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pendakwaan memohon pindaan bagi tuduhan keempat berhubung tuduhan salah guna kedudukan dan tuduhan ke-10 serta ke-21 bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Tuduhan keempat menyatakan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dituduh menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM44.9 juta dan pendakwaan mahu meminda jumlah berkenaan kepada RM44.6 juta.

Bagi dua lagi tuduhan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM652.6 juta dan RM12.4 juta dan pendakwaan memohon meminda jumlah itu masing-masing kepada RM515.7 juta dan RM11.4 juta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya