SEREMBAN: Sidang akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang lazim diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco dibatalkan hari ini pada saat akhir.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd. Shah kira-kira pukul 12.45 tengahari berbanding jemputan pukul 1.30 petang.
Menurutnya, pembatalan itu berikutan Aminuddin dilaporkan mempunyai urusan penting yang perlu dilakukan.
“Sidang media jam 1:30 tengahari ini ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam mesej di aplikasi WhatsApp kumpulan media Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau bagaimana pun enggan mengulas urusan penting yang dimaksudkan itu.
Para wartawan yang menunggu Aminuddin di Wisma Negeri sempat melihat beliau menaiki lif di bangunan itu kira-kira pukul 1.24 petang dipercayai menuju ke pejabatnya.
Pagi tadi, ketika ditemui para wartawan di pintu masuk Istana Hinggap di sini selepas mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Aminuddin berkata, pertemuan itu hanya ‘biasa sahaja’.
“Biasa sahaja… Biasa-biasa hari Rabu,” katanya ringkas.
Aminuddin kemudian menghadiri mesyuarat Exco pada pukul 11 pagi. – UTUSAN










