Nahas Simpang Renggam diklasifikasikan kes bunuh

Nahas Simpang Renggam diklasifikasikan kes bunuh

BEBERAPA anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, hadapan Penjara Simpang Renggam. - IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan nahas yang mengorbankan lima nyawa dan mencederakan lapan yang lain di Simpang Renggam, Johor akan diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan tindakan memandu secara melulu dan berbahaya yang dipercayai menjadi punca tragedi tersebut.  

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Negara Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pejabatnya akan meneliti hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum pertuduhan muktamad ditentukan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut selepas kes seumpamanya masih berlaku biarpun tindakan undang-undang tegas termasuk pertuduhan membunuh pernah dikenakan sebelum ini.

“Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak akan berkompromi terhadap kes yang melibatkan pemanduan melulu sehingga mengancam keselamatan awam. Setiap kes akan dinilai berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.

“Walaupun pertuduhan membunuh telah dikenakan dalam beberapa kes terdahulu, kejadian sedemikian masih berlaku dan terus mengundang risiko besar kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya semalam. 

Dalam kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga dan pemandu BMW 530e  di Jalan Renggam-Kluang kelmarin berpunca daripada tindakan pemandu dua buah kereta mewah memandu secara laju dan melulu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.

Menurutnya, kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN