SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini.
Pertemuan itu merupakan kelaziman sebelum Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang diadakan pada setiap hari Rabu.
Bagaimanapun, pertemuan kali ini menarik perhatian berikutan spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan susulan perkembangan politik semasa.
Ia selepas DUN Johor dibubarkan pada Isnin lalu.
Aminuddin kemudian dilihat meninggalkan perkarangan istana pada pukul 10.48 pagi selepas tiba kira-kira pukul 9.05 pagi.
Turut kelihatan hadir ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, Aminuddin menjelaskan perbincangan yang berlangsung hanyalah berkaitan urusan biasa.
“Biasa sahaja… Biasa-biasa hari Rabu,” katanya ringkas. – UTUSAN










