Dipenjara tiga bulan, warga Bangladesh mengaku curi seluar dalam

Dipenjara tiga bulan, warga Bangladesh mengaku curi seluar dalam

TERTUDUH yang juga warga Bangladesh dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah mencuri sehelai seluar dalam wanita. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan tidak senonoh seorang warga Bangladesh mencuri sehelai seluar dalam milik wanita berusia 57 tahun membawa padah, selepas Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara terhadapnya.

Majistret Nurul Asyikin Roslin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Hossain Md. Iqbal, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan mencuri sehelai pakaian dalam bernilai RM5 milik seorang wanita.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Hilir Kota 1, Jalan Merdeka dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.30 petang, 7 Jun 2023.

Difahamkan, pengadu semasa di rumahnya menyedari sehelai pakaian dalam miliknya yang dijemur di hadapan rumah telah hilang.

Pengadu kemudian memaklumkannya kepada pihak pengurusan pangsapuri sebelum melihat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah mencuri pakaian dalam tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon hukuman penjara dikenakan setelah mengambil kira kegusaran masyarakat, sekiranya tertuduh bebas dan kembali ke kawasan itu jika didenda.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang rendah diberikan.

Mahkamah kemudian menetapkan tiga bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 12 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN