KUALA LUMPUR: Tindakan licik seorang lelaki yang bergerak secara sendirian atau ‘lone ranger’ melakukan siri pecah kedai dan premis di sekitar ibu negara terbongkar apabila dia ditahan polis menerusi ‘Op Cash Box’ baru-baru ini.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Risikan (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wangsa Maju hasil risikan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, siasatan mendapati suspek berusia 44 tahun itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 30 kes pecah kedai dengan anggaran nilai kerugian berjumlah RM59,546.
Katanya, mengenai modus operandi suspek dengan menyasarkan premis yang mempunyai pintu cermin dan aktif pada waktu tengah malam atau awal pagi bagi mengelakkan dikesan orang awam.
“Suspek akan cuba menggoncang pintu cermin premis dan sekiranya gagal, dia akan menggunakan batu untuk memecahkan cermin berkenaan sebelum melarikan peti wang tunai (cash box) di dalam kedai tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati 26 rekod jenayah lampau itu dikesan baru sahaja dibebaskan dari penjara pada Mac 2025 atas kesalahan serupa, namun kembali aktif melakukan jenayah bermula Julai tahun yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang juga seorang gelandangan dan tidak mempunyai kediaman tetap itu sering berpindah-randah dan ada masanya dia akan tidur di masjid bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Jelasnya, polis turut merampas dua buah motosikal yang dilaporkan dicuri di Jinjang dan Dang Wangi selain 11 barangan lain yang digunakan untuk aktiviti jenayah.
“Satu daripada motosikal tersebut ditemukan disembunyikan di bawah tangga sebuah bangunan di Muar, Johor, dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah di luar kawasan Kuala Lumpur.
“Siasatan juga mendapati suspek bergiat aktif di Wangsa Maju dengan 11 kes, diikuti Dang Wangi (tujuh), Cheras (enam), Sentul (empat) dan Brickfields (dua),” katanya.
Menurutnya, suspek kini direman bermula 27 Mac sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan pemilik premis supaya meningkatkan langkah keselamatan dan sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membendung aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.- UTUSAN










