PETALING JAYA: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan untuk mendedahkan laporan siasatan berhubung pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam tempoh tujuh hari.
Katanya, pendekatan Anwar untuk menyembunyikan perkara itu disifatkan sebagai tidak selari dengan prinsip yang dibawakan Perdana Menteri itu.
“Persoalannya mudah, jika dapatan siasatan itu membuktikan Azam Baki tidak bersalah, mengapa perlu disembunyikan?.
“Dan jika dapatan itu membuktikan beliau bersalah, mengapa beliau masih berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya badan pencegah rasuah negara?.
“Dalam mana-mana keadaan, jawapannya adalah sama, dedahkan laporan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, laporan Bloomberg mendakwa Anwar telah mengarahkan pegawai kerajaan supaya tidak mendedahkan laporan siasatan jawatankuasa khas itu kepada umum.
Menurut beliau, sekiranya perkara itu benar, ia dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat yang percaya jaminan terhadap prinsip ketelusan yang dijanjikan.
“Ini bukan sekadar percanggahan. Ini adalah bukti bahawa prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang Anwar laung-laungkan selama ini hanya terpakai apabila ia memihak kepadanya. Apabila ketelusan mengancam kepentingannya, ia ditangguhkan,” katanya.
Dalam pada itu, kata Tuan Ibrahim, sikap Anwar juga disifatkan berbeza berbanding pada tahun 2022 ketika lantang menuntut Azam digantung tugas ketika isu serupa timbul.
“Kita tidak boleh lupa bahawa pada tahun 2022, apabila Azam pertama kali didedahkan dengan isu pegangan saham yang serupa, Anwar sebagai ketua pembangkang (ketika itu) antara yang paling lantang menuntut supaya Azam digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
“Hari ini, sebagai Perdana Menteri, beliau bukan sahaja enggan menggantung Azam, malah telah membaharui kontrak beliau sebanyak tiga kali. Dan kini, apabila siasatan sudah selesai, beliau mengarahkan supaya hasilnya tidak didedahkan segera.
“Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa amanah bukan milik beliau. Ia milik rakyat. Jika hari ini Perdana Menteri memilih untuk menyembunyikan dapatan siasatan demi melindungi seorang individu, maka beliau bukan lagi pejuang reformasi,” katanya. – UTUSAN










