CANBERRA: Kerajaan Australia akan mengurangkan separuh cukai bahan api bagi membantu meringankan beban pemandu yang terkesan akibat lonjakan harga petrol susulan peperangan di Asia Barat, kata Perdana Menteri Anthony Albanese pada Isnin.
Albanese mengumumkan langkah tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin wilayah Australia bagi membincangkan pelan menangani krisis kekurangan bekalan bahan api yang berlarutan.
Australia ketika ini mengenakan cukai jualan sebanyak AUD$0. 52 sen (RM1.43) bagi setiap liter petrol, dan kadar tersebut akan dikurangkan kepada separuh untuk tempoh tiga bulan. Langkah kecemasan ini dianggarkan menelan belanja kerajaan sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.03 bilion).
“Kami menurunkan harga bahan api kerana kami memahami rakyat Australia sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang serius,” kata Albanese kepada pemberita di Canberra.
Sebagai sebahagian daripada usaha mendepani krisis ini, wilayah Victoria dan Tasmania telah mengumumkan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma.
Albanese turut menggesa rakyat di seluruh negara supaya berjimat cermat dalam penggunaan petrol dengan mengurangkan pemanduan.
“Semakin kurang bahan api yang kita gunakan di bandar, semakin banyak bekalan yang dapat disalurkan ke kawasan luar bandar yang kini sedang mengalami tekanan hebat,” tambah beliau.
Sementara itu, di New South Wales, Premier Chris Minns melaporkan banyak stesen minyak telah kehabisan bekalan sepenuhnya, dan tumpuan utama kini adalah untuk membantu bandar-bandar kecil di pedalaman.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan lebih drastik akan diambil sekiranya situasi menjadi lebih buruk.
Parlimen Australia pada Isnin turut membentangkan rang undang-undang baharu yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menjamin pembelian kargo bahan api secara besar-besaran bagi meningkatkan simpanan negara.
Data mingguan yang dikeluarkan menunjukkan Australia kini mempunyai simpanan petrol untuk tempoh 39 hari, manakala bekalan diesel hanya mencukupi untuk 30 hari.
Selain itu, kerajaan juga akan mengurangkan kos pengangkutan lori dengan memotong caj pengguna jalan raya bagi kenderaan berat.
Menurut laman Fuel Check, purata harga petrol di New South Wales melonjak drastik daripada AUD$1.82 (RM5.03) pada Februari kepada AUD$2.48 (RM6.85) pada Isnin, manakala harga diesel mencecah AUD$3 (RM8.29) seliter. – AGENSI










