Wan Saiful fail permohonan ketepi 2 tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Wan Saiful fail permohonan ketepi 2 tuduhan rasuah

WAN Saiful Wan Jan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes rasuah Jana Wibawa. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan memfailkan permohonan untuk mengetepikan dua pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan pertuduhan terhadapnya cacat kerana tidak menyatakan secara spesifik masa dan tarikh kesalahan yang didakwa dilakukannya.

Oleh yang demikian, wakil rakyat itu mendakwa, pertuduhan terhadapnya tidak mematuhi Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenaah yang mana pertuduhan tersebut tidak mempunyai butiran yang mencukupi untuk memberikan notis secukupnya berhubung kesalahan yang dilakukan.

Hakim Rozina Ayob menetapkan permohonan itu didengar pada 27 Jun ini manakala afidavit jawapan kepada permohonan itu difailkan pada 9 Jun dan dibalas dalam tempoh empat hari.

Wan Saiful selaku pemohon memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Chetan Jethwani & Co. di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Sesyen di sini, Isnin lalu.

Ketika sebutan kes di hadapan Rozina, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful memberitahu, pihaknya memfailkan permohonan itu bagi membantah pertuduhan terhadap anak guamnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali memaklumkan pihaknya baru menerima notis permohonan itu kelmarin (hari yang sama difailkan) dan perlu membalasnya dalam tempoh 10 hari.

Jelas beliau, pihak pendakwaan sudah menyerahkan baki dokumen yang diperlukan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak pembelaan untuk digunakan pada perbicaraan kelak.

Pemohon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Februari lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Jana Wibawa.

Tertuduh turut meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.

Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu, Wan Saiful mahukan pertuduhan terhadapnya diketepikan dan dia dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Menurut beliau, pertuduhan perlu mengandungi tarikh dan masa kesalahan bagi membolehkannya menyediakan pembelaan yang efektif dan menyangkal dakwaan selain menentukan sama ada beliau boleh bergantung kepada pembelaan alibi.

Wan Saiful turut mendakwa, tindakan ‘membantu’ sebuah syarikat mendapatkan projek kerajaan, bukan satu kesalahan di bawah Seksen 16(a)(A).

Menurut tertuduh, jika demikian halnya, semua kerani, pegawai eksekutif, pengarah syarikat dan kakitangan kerajaan yang terlibat dalam pemerolehan projek juga boleh dikatakan telah melakukan kesalahan.

“Saya tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan dalam kerajaan yang membolehkan saya membuat mahupun mempengaruhi keputusan berhubung pemberian projek kerajaan kepada syarikat swasta.

“Saya keliru dan tertanya-tanya apa sebenarnya kesalahan dan dakwaan terhadap saya kerana pertuduhan yang dikenakan mengandungi kecacatan yang material,” jelasnya dalam afidavit sokongan.

Wan Saiful turut mengikrarkan, pada 2 Mei lalu, pihak peguam telah menghantar notis kepada pihak pendakwaan bagi memaklumkan terdapat kecacatan material pada pertuduhan selain memohon rakaman percakapan yang diambil daripada saksi-saksi, dibekalkan bagi menyediakan pembelaan.

Selain itu, pihak peguam turut memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan salinan dokumen yang dirampas daripada pejabat beliau.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa meminta rasuah sekitar bulan April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini.

Pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa menerima upah bagi membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut yang bernilai RM232 juta.

Wan Saiful didakwa melakukan perbuatan itu di antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 di CIMB Bank Cawangan Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Bukit Tunku di sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.