Najib dirujuk ke HKL kerana cirit-birit, dehidrasi - Utusan Malaysia

Najib dirujuk ke HKL kerana cirit-birit, dehidrasi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini selepas mengalami cirit-birit, demam dan dehidrasi sejak semalam.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang, Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hoshni berkata, bekas Perdana Menteri itu dirujuk kepada pakar di HKL kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mengadu kurang sihat, loya dan sakit perut.

Menurutnya, beliau memeriksa Najib kira-kira pukul 7.15 pagi selepas pembantu perubatan memaklumkan keadaan kesihatannya.

Jelas Dr. Mohd. Hafiz, Najib kemudian mengadu beliau membuang air besar sehingga empat kali malam tadi dan selepas diberi ubat, keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri masih tiada perubahan.

“Datuk Seri Najib memberitahu beliau sakit perut dan loya. Keadaannya masih sama walaupun selepas diberi ubat. Ketika diperiksa, suhunya 37.8 darjah Celsius.

“Beliau kelihatan penat, lesu dan dehidrasi (kekurangan air) dan perlu diberi drip selain tidak mampu berdiri sebab duduk terlalu lama,” jelas pegawai perubatan tersebut.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, beliau berpendapat, Najib tidak sesuai untuk menghadiri perbicaraan dan diberi cuti sakit oleh pihak HKL selama dua hari.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, doktor itu berkata beliau merujuk Najib ke HKL bagi membolehkan bekas Perdana Menteri mendapat rawatan lebih baik.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melapangkan prosiding hari ini dan esok serta menetapkan Khamis ini bagi menyambung perbicaraan.

Mahkamah sepatutnya mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai yang merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Cawangan Singapura pada sesi soal balas semalam.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya