Jurulatih renang rogol anak tiri dihukum penjara 263 tahun

Jurulatih renang rogol anak tiri dihukum penjara 263 tahun

TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 263 tahun berserta 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas kesalahan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 263 tahun berserta 20 sebatan kepada bapa tiri seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Jasin, pada 18 Mac lalu.

Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd. Sabri Ismail selepas tertuduh mengaku bersalah merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap gadis itu, sejak tiga tahun lalu.

Dalam dua prosiding berasingan, tertuduh yang berusia 37 tahun mengekalkan pengakuan bersalah terhadap 32 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan 11 pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah merogol anak tirinya berusia 16 tahun dengan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Tertuduh juga didakwa dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 20 tahun serta sebatan kerana merogol mangsa sama setelah usianya mencecah 16 tahun.

Mengikut lapan lagi pertuduhan, tertuduh didapati bersalah melakukan seks menggunakan objek tanpa kerelaan mangsa dan didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Tertuduh juga didapati bersalah atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara 20 tahun serta sebatan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Maju dalam daerah Jasin antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023.

Tertuduh yang bekerja sebagai jurulatih renang merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai anak kecil, ayah yang uzur serta isteri tidak bekerja.

Bagaimanapun, pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N. Sivashangari bersama Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira keadaan terkini mangsa yang bukan sahaja trauma, tetapi turut mengalami kebimbangan (anxiety) melampau.

Pendakwaan turut membacakan keterangan impak mangsa yang mana antara kandungan disebutkan adalah, mangsa mengalami anxiety untuk berdepan dengan orang ramai yang telah mengenali wajah dan kisahnya.

Dalam pada itu, kejadian itu turut membuatkannya berasa benci, jijik, kotor dan tidak suci terhadap diri sendiri.

Sivashangari turut mengemukakan laporan kaunseling sebagai faktor pemberat yang menyatakan, mangsa kerap menangis disebabkan sikap ibunya yang tidak mempercayai aduannya, selain sering dimarahi ibu sejak kecil dan banyak menghabiskan masa berkurung dalam bilik.

Di akhir prosiding, Darmafikri menjatuhkan hukuman penjara sebanyak 129 tahun dan 10 sebatan manakala Mohd. Sabri memutuskan penjara 134 tahun berserta 10 sebatan.

Mahkamah kemudian memerintahkan sebahagian hukuman dijalankan secara serentak, menjadikan tempoh penjara keseluruhan hanya 35 tahun dan 20 sebatan.

Pada 9 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, polis mengesahkan bahawa bapa tiri dan ibu kandung kepada seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun sama.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima satu laporan kes rogol melibatkan remaja berkenaan.

Beliau berkata, suspek yang juga bapa tiri mangsa bersama ibu kandungnya berumur 40 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 di Sepang, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya