Kenya beku rancangan AS buka pusat kuarantin Ebola

Kenya beku rancangan AS buka pusat kuarantin Ebola

PETUGAS kesihatan berada di dalam 'zon merah' pusat rawatan wabak Ebola di Butembo.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Mahkamah Tinggi Kenya mengeluarkan perintah sementara yang membekukan rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk menubuhkan kemudahan kuarantin dan rawatan Ebola di negara itu, walaupun Kenya tidak merekodkan sebarang kes penyakit berkenaan.

Kemudahan tersebut dilaporkan bertujuan menempatkan rakyat AS yang mungkin terdedah kepada virus Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC), yang terletak lebih 1,500 batu dari Kenya.

Langkah itu dibuat susulan kenyataan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang berkata awal minggu ini bahawa Washington ‘tidak boleh dan tidak akan membenarkan sebarang kes Ebola memasuki AS.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan daripada kumpulan masyarakat sivil di Kenya yang menyifatkan rancangan tersebut sebagai berunsur layanan dua darjat terhadap negara Afrika.

Wabak Ebola yang diisytiharkan secara rasmi pada 15 Mei di DRC itu setakat ini dilaporkan meragut sekurang-kurangnya 238 nyawa serta menyebabkan lebih 1,000 kes jangkitan disyaki.

Wabak maut itu didorong oleh strain Bundibugyo, iaitu bentuk Ebola yang jarang berlaku dan belum mempunyai vaksin atau rawatan yang diluluskan.

Virus tersebut turut dilaporkan merebak ke Uganda, yang bersempadan dengan Kenya dan Congo. Di Uganda, virus itu menyebabkan satu kematian dan sekurang-kurangnya tujuh kes disahkan, menurut kerajaan negara itu.

Rancangan AS untuk menubuhkan kemudahan Ebola di Kenya bagi rakyat Amerika, yang diumumkan pada Rabu, menerima kritikan daripada doktor Kenya serta pegawai AS yang berkhidmat di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), menurut sumber CDC.

Ia juga segera dicabar di mahkamah oleh Institut Katiba, sebuah kumpulan masyarakat sivil yang memfokuskan kepada isu-isu perlembagaan di Kenya.

Dalam perintah yang dikeluarkan lewat Khamis, Hakim Mahkamah Tinggi, Patricia Nyaundi, melarang Kenya daripada menubuhkan atau mengendalikan sebarang fasiliti berkaitan Ebola di bawah sebarang perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) atau kerajaan asing lain.

Mahkamah turut menghalang kemasukan mana-mana individu yang terdedah kepada atau dijangkiti virus tersebut ke dalam negara itu, sehingga cabaran undang-undang berkenaan diselesaikan.

Kes tersebut dijadualkan untuk kembali ke mahkamah pada 2 Jun.- CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN