Bergerak solo, Ryan Deedat mahu fokus kerjaya seni - Utusan Malaysia

Bergerak solo, Ryan Deedat mahu fokus kerjaya seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi Ryan Deedat mengakui tempoh enam bulan menjalani kehidupan solo adalah fasa penting untuk memulihkan diri serta membina semula hala tuju peribadi dan kerjaya seninya.

Ryan atau Sheikh Eamir Deedat, 34, berkongsi perjalanan peribadinya yang memilih untuk tidak menjalinkan hubungan dalam tempoh tersebut demi memberi tumpuan kepada proses memperbaiki diri.

“Enam bulan solo. Bukan kerana saya tidak boleh memiliki seseorang, tetapi kerana saya memilih untuk berhenti seketika, sembuh dan mengubah hala tuju diri saya menjadi versi yang lebih baik.

“Dua bulan pertama memang berat, saya tidak akan menafikan perkara itu. Ia benar-benar menguji segala yang ada dalam diri saya. Tetapi perlahan-lahan, keadaan menjadi lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Menurut penyanyi lagu Salimah itu, selepas melalui fasa sukar tersebut, beliau mula kembali aktif menjalani kehidupan dengan bergerak ke pelbagai lokasi, bertemu individu baharu serta memberi tumpuan kepada kerjaya muziknya.

“Saya mula bergerak semula, berjalan ke sana sini, bertemu orang baharu, menyiapkan lagu-lagu saya, menjalani penggambaran video muzik dan membina semula diri saya sedikit demi sedikit.

“Sebelum saya memasuki bulan Jun, saya hanya mahu meninggalkan semua beban yang berat di belakang,” katanya.

Ryan turut menzahirkan rasa syukur atas perjalanan yang dilaluinya, yang disifatkan sebagai proses pembelajaran yang berlaku secara senyap tanpa disedari orang sekeliling.

“Saya bersyukur kepada Allah atas proses ini, atas segala pengajaran dan pembelajaran yang hadir dalam diam, yang tidak dilihat oleh orang lain kecuali saya sendiri.

“Akhirnya saya sedar bahawa menjadi bersendirian bukanlah sesuatu yang kosong, tetapi ia adalah satu bentuk persediaan,” ujarnya.

Untuk rekod, Ryan merupakan seorang penyanyi, penulis lagu yang terkenal dengan lagu hits seperti Salimah dan Monalisa. Selain aktif dalam industri hiburan, beliau merupakan seorang calon Doktor Falsafah (PhD) dan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari UiTM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN