SINGAPURA: Malaysia tidak akan membuat keputusan terburu-buru berkait peningkatan perbelanjaan pertahanan meskipun terdapat desakan daripada Amerika Syarikat supaya sekutu antarabangsanya memperkukuh keupayaan ketenteraan masing-masing.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan kewangan negara perlu mengambil kira keutamaan pelbagai sektor kerana Malaysia masih berada pada fasa membangun.
Katanya, pendekatan semasa negara adalah untuk menyeimbangkan keperluan pemodenan aset pertahanan dengan tanggungjawab terhadap sektor lain seperti pembangunan ekonomi dan sosial.
“Ia tidak bermaksud kita akan melaksanakannya serta-merta hanya kerana Amerika berkata demikian. Belanjawan kita perlu diagihkan kepada pelbagai sektor kerana kita bukan negara maju,” katanya dalam satu temu bual pada sela-sela Dialog Shangri-La 2026 di Singapura.
Kenyataan itu susulan gesaan Setiausaha Perang Amerika Syarikat, Pete Hegseth yang menyuruh sekutu di Asia meningkatkan perbelanjaan ketenteraan kepada sasaran 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Gesaan itu dibuat sebagai langkah bagi menyaingi pembinaan ketenteraan bersejarah oleh China.
Tambah Mohamed Khaled, Malaysia pada masa ini memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan peperangan asimetrik termasuk penggunaan dron dan roket berskala besar, selain meneroka teknologi pertahanan dari beberapa negara termasuk Turkiye, Korea Selatan dan Australia.
Dalam pada itu, beliau turut membincangkan isu sekatan eksport peluru berpandu oleh Norway, dengan Amerika Syarikat menawarkan alternatif bekalan sebagai pilihan kepada Malaysia. – UTUSAN










