Tukang gunting warga asing didakwa bunuh pesara

Tukang gunting warga asing didakwa bunuh pesara

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang tukang gunting rambut warga asing dari India berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pesara.

Tertuduh, S. Logamurugan, 27, mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Sa’adon Sahat, 57.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 2.44 pagi hingga 3.10 pagi di belakang bangunan premis Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Februari 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat kematian mangsa.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hanya kerana berang ditegur memasang lagu terlalu kuat di dalam kereta sehingga mengganggu keamanan setempat, dua lelaki bertindak ganas merempuh seorang pesara berusia 57 tahun.

Ketika kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah setelah hampir 11 jam menerima rawatan di Hospital Melaka.

Anak mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, sebelum insiden dia dan bapanya telah menegur pelaku yang menaiki kereta jenis Perodua Axia kerana memasang muzik terlalu kuat di kawasan rumahnya di Kampung Padang.

Katanya yang berusia 20-an, kedua-dua lelaki itu kemudian telah beredar selepas ditegur, namun datang semula ke lokasi sama dengan sengaja mencetuskan provokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya