KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Barbarik, Muss mengakui kini lebih matang dalam membuat keputusan, terutama membabitkan hala tuju karier seninya.
Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 58, berkata, pada tahap usia sekarang dia tidak lagi mahu membuat keputusan semata-mata untuk memenuhi kehendak peminat.
Menurutnya, antara permintaan yang sering diterima adalah supaya dia kembali bergabung dengan kumpulan lamanya, MAY bagi menjayakan konsert khas.
“Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan mereka dan perkara itu tidak pernah tertutup. Namun, saya mahu melihat perancangan yang jelas daripada semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk komitmen dan hala tuju kerjasama itu nanti. Dalam kehidupan, saya lebih selesa mengikut aliran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Black On White Cromok-Barbarik di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Muss berkata, dia kini selesa bersama Barbarik, namun tetap terbuka mempertimbangkan kerjasama dengan MAY sekiranya ada perancangan yang benar-benar sesuai pada masa depan.
Katanya, dia juga tidak mahu terlalu memaksa diri seperti ketika usia muda dahulu.
“Fokus saya bukan lagi mahu bermain band atau menyanyi seperti usia 20 atau 30 tahun dulu. Sekarang saya sudah berada dalam fasa berbeza.
“Bila ada permintaan seperti itu, saya tidak boleh hanya mengikut kehendak peminat semata-mata. Saya perlu lihat bagaimana pihak penganjur atau band itu sendiri mahu bekerjasama dengan saya kerana saya juga mempunyai komitmen lain,” katanya.
Muss pernah bersama MAY sejak pertengahan era 1980-an sebelum mengundurkan diri secara kekal pada 2020.
Menurutnya, dia kini lebih berhati-hati dalam memilih komitmen seni dan enggan sekadar memenuhi nostalgia tanpa perancangan yang jelas.
“Saya tidak mahu buat sesuatu yang biasa-biasa. Kalau dulu mungkin saya boleh lakukan pada tahap tujuh atau lapan, sekarang saya mahu hasil yang bernilai 10.
“Semuanya bergantung kepada cara mereka datang berbincang dan apa yang mahu dilakukan. Adakah ia benar-benar berbaloi untuk saya lakukan pada usia sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Muss memaklumkan hubungannya dengan anggota MAY masih baik seperti dahulu.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu dalaman kumpulan itu. Hubungan saya dengan mereka okey dan saya lebih selesa bersikap natural,” katanya.
Barbarik yang turut dianggotai JoBranko selaku pengasas dan pemain gitar utama, Rozaimie (bass) serta Ainoll (dram), tampil dengan album sulung berjudul Peluru Cokelat pada 2024.
Dalam perkembangan lain, Barbarik dan kumpulan Cromok bakal menjayakan Konsert Black On White yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive Arena.










